4 Mei 2026 | Kuching, Sarawak
INDUSTRI LADA NEGARA TERUS DIPERKASA, FOKUS PRODUKTIVITI DAN PASARAN GLOBAL
YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Lada Malaysia (MPB), di sini bagi memperkukuh hala tuju strategik industri lada negara yang kini memfokuskan kepada modenisasi dan penguasaan pasaran antarabangsa.
Industri ini terus menjadi penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dengan nilai KDNK mencecah RM2,274.71 juta pada tahun 2025, selain menjadi sumber pendapatan utama bagi kira-kira 39,000 pekebun lada.
Dalam lawatan tersebut, YB Menteri turut meninjau Loji Pemprosesan Fizikal serta Loji Penyisihan Warna baharu, yang berperanan meningkatkan kecekapan penggredan dan pemprosesan lada mengikut spesifikasi eksport global.
Penggunaan teknologi serta inovasi produk hiliran terus menjadi keutamaan Kementerian bagi memastikan lada Malaysia kekal kompetitif, mampan dan mematuhi standard keselamatan makanan antarabangsa.











