Lembaga Lada Malaysia (MPB) bersama rakan agensi memainkan peranan aktif dalam menjayakan Program Santuni MADANI Agri-Komoditi yang berlangsung di MRSM Batu Pahat dengan penglibatan pegawai, kakitangan serta usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah sektor komoditi.
Program yang dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pekebun kecil, pelajar, belia dan penduduk setempat.
Pelbagai pengisian telah diadakan termasuk demonstrasi teknologi, sesi perkongsian ilmu agrikomoditi, pameran agensi serta aktiviti interaktif yang memberi manfaat kepada pengunjung. Turut serta memeriahkan program ialah dua usahawan PMKS bimbingan MPB, iaitu Kohajj Trading dan IFA MZ Marketing yang mempamer serta mempromosikan produk berasaskan lada kepada pengunjung.
Selain menyertai pameran dan reruai agensi, MPB turut diberi kepercayaan sebagai penyelaras bagi acara sukan rakyat Sepakan Penalti, yang berjaya menarik penyertaan serta sambutan menggalakkan daripada para pengunjung. Penglibatan ini bukan sahaja menyemarakkan suasana program, malah mengeratkan hubungan antara agensi agrikomoditi dengan masyarakat setempat.











