Dalam landskap perdagangan global yang semakin menitikberatkan aspek kualiti, keselamatan makanan dan kebolehkesanan produk, Lada Malaysia terus mencuri perhatian pembeli antarabangsa sebagai antara rempah premium yang memenuhi kehendak pasaran.
Perkembangan positif ini diterjemahkan menerusi kunjungan pembeli lada berpotensi dari Belanda ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) bagi mengadakan sesi perbincangan bersama
MATRADE Sarawak untuk meneroka peluang kerjasama perdagangan serta potensi memperluaskan eksport Lada Malaysia ke pasaran Eropah.
Selain memperkenalkan pembangunan industri lada negara, sesi ini memberi tumpuan kepada keperluan pasaran Eropah, spesifikasi produk serta pematuhan piawaian eksport yang menjadi faktor penting dalam memperkukuh daya saing Lada Malaysia di pasaran antarabangsa.
Perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MPB, Encik Gura Langgong dan disertai oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pasaran, Puan Priscilla Anne Grunsin dan En Roswandi Sulaiman, manakala MATRADE Sarawak diwakili oleh Pengarahnya, Encik Suwardy Abd. Shukor bersama Puan Aidatul Marina Abdul Ghani.











