8 Mac 2024 | Senai, Johor Bahru
Lembaga Lada Malaysia (MPB) meneruskan Sesi Konsultasi Bersama Penggiat Industri Lada Tahun 2024 di Johor Bahru, Johor pada 7 Mac 2024.
Sesi konsultasi pada kali ini telah berlangsung di salah sebuah hotel di Senai, Johor Bahru dengan menghimpunkan para penggiat industri yang terdiri daripada syarikat pengeksport, pengimport, PKS, usahawan lada dan persatuan penanam lada di wilayah Semenanjung Malaysia.
Objektif penganjuran sesi konsultasi ini adalah sebagai platform kepada MPB untuk menerangkan dasar, program dan projek berkenaan industri lada, senario pasaran lada serta memberi peluang kepada pihak industri untuk mendengar taklimat berkenaan prosedur dan peraturan import serta eksport lada dan produk lada ke Malaysia.
Melalui konsultasi ini juga pihak MPB berpeluang berinteraksi dan mendengar pandangan serta maklumbalas daripada pihak industri berkenaan industri lada negara.
Ketua Pengarah MPB, Encik Vincent Sawat dalam ucapan pembukaan sesi konsultasi telah memaklumkan bahawa MPB akan sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, penggiat industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam usaha untuk memantapkan lagi pembangunan industri lada sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran demi kelangsungan semua penggiat industri lada negara.
Dalam sesi kali ini, MPB turut menjemput pegawai daripada Jabatan Kesihatan NEGERI (JKN) Johor, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.
Pihak JKN Johor dan MAQIS Johor telah membentangkan kertas kerja berkenaan Pematuhan, Penguatkuasaan Makanan Import dan Makanan Jualan Pasaran Tempatan dan Prosedur Import dan Eksport Produk Pertanian.