25 Mac 2024 | Padawan, Sarawak
Seperti pepatah “Tak Kenal Maka Tak Cinta”, MPB Serian telah mengambil inisiatif menyampaikan salam berkenalan dan menarik minat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan mengadakan sesi turun padang untuk menjayakan dialog dan sesi libat urus bersama KMKK di Pejabat Daerah Kecil Padawan pada 25 Mac 2024.
Program yang julung kalinya diadakan telah dihadiri oleh 19 KMKK yang terdiri daripada 1 orang Pemanca, 6 orang Penghulu, dan 12 orang Ketua Kaum di sekitar Daerah Padawan.
Senarai kampung adalah terdiri daripada Kampung Tijirak, Bra’ang Bayur, Jambu, Bowang, Simboh, Seratau, Kamas, Kiding, Assum, Semban, Karu, Segu Bunuk, Bra’ang Bidak, Sitang, Biya Nusaraya, Nyiru Grait, Emperoh Betung, Seratau, dan Emperoh Giam.
Objektif program adalah untuk mendedahkan KMKK tentang prospek tanaman lada serta menyediakan rangkaian komunikasi untuk bertukar pandangan dan fikiran. Selain itu, program juga bertujuan untuk menyediakan pekebun-pekebun baharu untuk dibantu pada tahun yang akan datang.
Program merangkumi sesi ceramah berkaitan skim bantuan & insentif MPB kepada pekebun lada, permohonan skim bantuan atas talian, serta demonstrasi aplikasi mudah alih yang telah dibangunkan oleh MPB.
Hasil daripada program ini, KMKK diharapkan dapat menyampaikan informasi yang telah dikongsikan oleh MPB kepada penduduk kampung di masa akan datang. Segala pertanyaan semasa sesi dialog juga telah berjaya dijelaskan dan lebih banyak tertumpu kepada skim bantuan dan teknologi terkini di dalam penanaman lada yang disyorkan oleh MPB.
Turut hadir pada program ini ialah Tuan Julius Scott Sapong, Pegawai Daerah Kecil Padawan, Encik Frankie Giant, Ketua Pejabat Cawangan MPB Serian, dan Encik Brain Clay Kamer, Penyelia Kawasan Padawan.