MPB Sibu turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Masyarakat dan Penggiat Industri Lada Bahagian Kapit pada 25 Mac 2024 yang lalu bagi memberi penerangan berkaitan prospek industri lada serta perkhidmatan yang disediakan oleh MPB.
Berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Kapit, sesi ini menjadi medium kepada MPB untuk mendapatkan maklum balas daripada para peserta mengenai isu dan kekangan yang dihadapi di peringkat lapangan dan seterusnya memberikan penjelasan dan mencadangkan penyelesaian kepada perkara yang dibangkitkan.
Pada masa yang sama, jalinan kerjasama antara MPB dan Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan seperti Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kapit menerusi penganjuran aktiviti seumpama ini adalah seiring dengan naratif yang ingin diketengahkan oleh MPB kepada masyarakat iaitu ke arah kemampanan industri lada.