dewi77
Aplikasi Ladago Melonjak Sistem Penyampaian Perkhidmatan Mpb Kepada Golongan Sasar - MPB

Aplikasi Ladago Melonjak Sistem Penyampaian Perkhidmatan Mpb Kepada Golongan Sasar

Kuching, Sarawak |  24 Mac 2021

Lembaga Lada Malaysia (MPB) semakin bergerak seiring dengan dunia digital yang semakin berkembang apabila telah membangunkan sebuah lagi aplikasi pintar iaitu Integerated Mobile Platform (LadaGO) yang dapat membantu pegawai pengembangan MPB serta pengusaha tanaman lada dalam Pengurusan Masalah Penyakit dan Nutrien Pokok Lada.

Sebagai permulaan, satu taklimat percubaan mengenai ujian penerimaan penggunaan aplikasi LadaGO untuk pengesanan awal masalah penyakit dan nutrien pokok lada serta cara pemantuan kes-kes yang dilaporkan oleh pekebun lada telah diadakan pada pagi 24 Mac 2021 di Hotel UCSI di Kuching bersama 30 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan MPB yang terlibat dalam aktiviti pengembangan dan pemindahan teknologi (ToT).

Ketua Pengarah MPB, Encik Philip Gaweng dalam ucapan beliau semasa taklimat tersebut berkata masalah kekurangan nutrien dan

serangan penyakit ke atas pokok lada merupakan salah satu masalah utama yang dihadapi oleh pekebun lada kerana ia memberi kesan kepada pengeluaran lada dan mempengaruhi sumber pendapatan mereka. Selain itu, kaedah penyaluran penasihatan yang efisien dalam tempoh masa capaian yang cepat kepada pekebun kecil lada turut menjadi cabaran kepada pegawai pengembangan dan pakar tanaman.

Ujarnya lagi, aplikasi yang dibangunkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Kualiti Lembaga Lada Malaysia (MPB) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Swinburne University Sarawak ini telah menggunakan sistem kepakaran berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi peranti mudah alih yang dapat memberi penasihatan alternatif kepada pekebun lada terutamanya ketika tanaman lada diserang penyakit serta berupaya memberi nasihat dan membuat keputusan yang selari dengan kemampuan pakar manusia.

Justeru, beliau berharap agar pemindahan teknologi melalui aktiviti pengembangan dapat dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan penasihatan kepada pekebun lada terutamanya dalam aspek pengurusan masalah penyakit dan nutrien pokok lada.

“Penemuan dan ciptaan baru ini wajar dikongsikan melalui platform (taklimat) seumpama ini agar setiap lapisan golongan sasar mendapat manfaat daripadanya sekaligus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan MPB kepada orang awam berterusan,” katanya.

Hadir sama ialah Profesor Madya Dr. Lee Nung Kion, Pensyarah UNIMAS dan Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan Cik Catherine Umbit.

Aplikasi penasihatan ini boleh dimuat turun di platform digital Google Play Store mulai bulan Mei 2021.