30 Jun 2022 | Kuching, Sarawak
Sepanjang minggu yang lalu, sebanyak dua siri Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada telah diadakan bertempat di Hotel Paramount, Sibu.
Bengkel Siri 3 telah diadakan pada 20 sehingga 22 Jun 2022 yang melibatkan seramai 30 orang peserta dari kawasan Sibu, Mukah, Kapit dan Song manakala bengkel Siri 4 juga melibatkan 30 orang peserta dari kawasan Sarikei dan Bintangor yang diadakan pada 24 sehingga 26 Jun 2022.
Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Lada
yang bertujuan untuk membangunkan dan meningkatkan penglibatan usahawan hiliran lada yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada yang boleh dipasarkan di peringkat tempatan dan global melalui bantuan yang komprehensif dan bersepadu serta bimbingan yang berterusan. Usaha ini adalah seiring dengan visi Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) iaitu memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama.
Kedua-dua siri bengkel tersebut adalah anjuran penuh oleh Bahagian Pembangunan Pasaran dan Perniagaan dengan kerjasama Pejabat MPB Cawangan Sarikei, Bintangor dan Sibu serta wakil dari agensi - agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Komuniti Betong dan agensi perbankan Agrobank.