8 September 2022 | Kuching, Sarawak
Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemantapan Pengetahuan dan Kemahiran Pekebun ada 5 hingga 7 September 2022 bertempat di Hotel Harbour View, Kuching.
Bengkel yang menggabungkan seramai 102 orang peserta terdiri daripada para pegawai pengembangan MPB serta para penggiat industri dari seluruh Malaysia merupakan yang pertama kali diadakan di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12) yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekebun dan pegawai pengembangan dari semasa ke semasa sesuai dengan peranan mereka sebagai pembimbing atau mentor yang menjadi sumber rujukan kepada pekebun-pekebun lain.
Selain itu, sesi ini juga memberi fokus kepada meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekebun dan pegawai pengembangan terutamanya berkaitan pemindahan teknologi baharu yang dihasilkan oleh pegawai penyelidik.
Kemahiran dan pengetahuan teknologi serta digital ini amat penting bagi memudahkan para pegawai pengembangan MPB melaksanakan aktiviti pengembangan dan promosi dengan lebih berkesan melalui kursus, latihan, seminar dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
Selain menggunakan khidmat pegawai dalaman sebagai penceramah, MPB turut menjemput Pengurus Besar Saraspice Sdn. Bhd, Encik Duwen Babat, usahawan hiliran bimbingan MPB yang juga pemilik perusahaan Kina Karar Agrofarm, Puan Kansar anak Karar dan Encik Seow Chee Lian untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam perusahaan tanaman lada dan hiliran lada.
Dalam bengkel yang sama, satu sesi ujian bertulis dan lisan telah diadakan bagi memperkasa kualiti penyampaian ke arah pentauliahan penyelia kawasan MPB dalam aktiviti - aktiviti pengembangan.
Secara keseluruhannya, sesi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peserta.
Hadir menyempurnakan majlis penutupan bengkel ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MPB, Puan Jenny George dan disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Encik Vincent Sawat dan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Tanaman, Encik William Sze.