dewi77
AKTIVITI MPB BM - MPB
𝟮𝟭 𝗣𝗘𝗞𝗘𝗕𝗨𝗡 𝗕𝗜𝗡𝗧𝗨𝗟𝗨 𝗧𝗘𝗥𝗜𝗠𝗔 𝗦𝗢𝗞𝗢𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗜𝗡𝗣𝗨𝗧 𝗗𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗟𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗟𝗔𝗗𝗔𝗡𝗚
 
🗓️ 3 Oktober 2026
📍 Bintulu, Sarawak
 
Sokongan kepada pekebun bukan sekadar soal bantuan yang disediakan, tetapi bagaimana kemudahan tersebut dapat digunakan untuk memudahkan kerja dan pengurusan kebun.
 
Pendekatan itu diketengahkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) menerusi Hari Terbuka Pejabat MPB Cawangan Bintulu apabila 21 pekebun menerima surat tuntutan input pertanian serta bantuan peralatan ladang, melibatkan Spiral Separator, Electric Knapsack Sprayer dan Brush Cutter.
 
Daripada jumlah tersebut, 14 pekebun menerima surat tuntutan input pertanian, manakala tujuh lagi menerima peralatan yang dapat digunakan secara langsung bagi kerja pengurusan dan penyelenggaraan kebun.
 
Namun, tumpuan kali ini tidak terhenti pada penyerahan bantuan. Pekebun turut diberikan penerangan mengenai penyelenggaraan kebun secara sistematik serta bantuan yang boleh dimanfaatkan, termasuk BUDI Agri-Komoditi. Kaunter khas turut dibuka bagi membantu pekebun mendapatkan penerangan dan bimbingan dalam proses permohonan.
 
Ini memberi ruang kepada pekebun bukan sahaja mengetahui bantuan yang tersedia, tetapi mendapatkan penjelasan secara terus mengenai keperluan mereka, mulai daripada pengurusan tanaman sehingga proses mendapatkan kemudahan yang berkaitan.
 
Hari Terbuka Pejabat MPB Cawangan Bintulu telah diadakan pada 30 September 2026 bersempena Sarawak Agrofest yang kini sedang berlangsung di Lapangan Terbang Lama sehingga 4 Oktober 2026.

 

𝐏𝐑𝐎𝐃𝐔𝐊 𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀𝐍, 𝐓𝐄𝐊𝐍𝐎𝐋𝐎𝐆𝐈 𝐋𝐀𝐃𝐀 𝐓𝐄𝐌𝐔𝐈 𝐏𝐀𝐒𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆 𝐃𝐈 𝐒𝐀𝐑𝐀𝐖𝐀𝐊 𝐀𝐆𝐑𝐎𝐅𝐄𝐒𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟔
 
🗓️ 30 September 2026
📍 Bintulu, Sarawak
 
Apa yang boleh dihasilkan daripada lada selain rempah yang biasa kita kenali?
 
Persoalan itu diterjemahkan menerusi penyertaan MPB di Sarawak Agrofest 2026 dengan mengetengahkan produk usahawan bimbingan, teknologi dan inovasi yang memperlihatkan perkembangan industri lada daripada pengeluaran hingga kepada produk bernilai tambah.
 
Kehadiran MPB di Pavilion Pameran Jabatan Pertanian Sarawak dan Laman Komoditi bukan sekadar mengisi ruang pameran. Di kedua-dua lokasi ini, pengunjung berpeluang mengenali industri lada dengan lebih dekat, termasuk produk, teknologi dan inovasi yang diketengahkan sepanjang penganjuran Agrofest.
 
Platform berkenaan turut dimanfaatkan oleh petugas MPB untuk membantu para pekebun lada membuat permohonan dan semakan kelayakan bagi bantuan BUDI Agrikomoditi di bawah sektor lada.
 
Sebagai ekspo pertanian terbesar di Sarawak, Sarawak Agrofest menghimpunkan pelbagai kelompok dalam satu ruang Pertemuan ini memberi kelebihan kepada usahawan bimbingan MPB untuk memperluas pendedahan produk, membina jaringan dan meneroka peluang pasaran baharu.
 
Majlis perasmian Sarawak Agrofest 2026 telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 28 September 2026 lalu.
 
Berbaki empat hari lagi sebelum Sarawak Agrofest 2026 melabuhkan tirai. Kalau anda berada di Bintulu, singgahlah ke Booth P013 di Laman Komoditi. Jumpa kami di sana!

 

𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐋𝐈 𝐉𝐄𝐏𝐔𝐍 𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐈 𝐌𝐏𝐁 𝐒𝐈𝐁𝐔, 𝐁𝐈𝐍𝐂𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐔𝐀𝐋𝐈𝐓𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐏𝐑𝐎𝐒𝐄𝐒𝐀𝐍 𝐋𝐀𝐃𝐀
 
🗓️ 29 September 2026
📍 Kuching, Sarawak
 
Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sibu menerima kunjungan wakil syarikat pembeli lada dari Jepun minggu lalu bagi membincangkan aspek kualiti serta aktiviti pemprosesan lada.
 
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kawalan mutu dan pematuhan standard yang ditetapkan, khususnya bagi lada yang dipasarkan ke Jepun.
 
Kunjungan ini turut mencerminkan kepentingan hubungan berterusan antara MPB dan pembeli dalam memastikan lada Malaysia yang memasuki pasaran eksport memenuhi keperluan kualiti serta kehendak pasaran semasa.

 

𝐋𝐀𝐃𝐀 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐔𝐈 𝐑𝐄𝐌𝐏𝐀𝐇 𝐃𝐈 𝐌𝐈𝐇𝐀𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟔
 
🗓️ 29 September 2026
📍 MITEC, Kuala Lumpur
 
Makanan, kosmetik dan nutraseutikal antara segmen yang memperlihatkan bagaimana lada Malaysia boleh dikembangkan melangkaui kegunaan tradisionalnya sebagai rempah.
 
Penyertaan MPB sempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) tahun ini turut membawa bersama tiga usahawan PMKS industri lada, Hajjah Aminah Food Industries Sdn. Bhd., AJ Truly Spices Sdn. Bhd. dan Pawada Food Industries Sdn. Bhd. bagi memperkenalkan produk masing-masing kepada pasaran yang lebih luas, di samping membuka ruang untuk membina jaringan perniagaan bersama pemain industri berkepentingan.
 
Reruai MPB turut menerima kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang meninjau produk dan inovasi dipamerkan serta mendapatkan penerangan mengenai potensi pembangunan hiliran lada Malaysia. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MPB, En. Apoi Wan mewakili Ketua Pengarah.
 
Sepanjang empat hari pameran yang bermula pada 23–26 September 2026 lalu di MITEC Kuala Lumpur, pengunjung turut berpeluang melihat sendiri kepelbagaian penggunaan lada menerusi demonstrasi masakan dan sesi pensampelan makanan, selain mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan MPB.

 

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐀𝐒𝐈𝐇𝐀𝐓 𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆-𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐏𝐊 𝐊𝐄 𝐌𝐏𝐁
🗓️ 25 September 2026
📍 Kuching, Sarawak
 
Lembaga Lada Malaysia (MPB) menerima kunjungan daripada Penasihat Undang-Undang di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Encik Ahmad Musttaqin Rabbani Abdulah, pada 18 September 2026 lalu bagi membincangkan pelaksanaan fungsi kawal selia industri lada oleh MPB.
 
Sesi perbincangan merangkumi aspek pelesenan, penggredan, permit, perkhidmatan makmal dan pemprosesan, termasuk kawalan mutu serta pematuhan terhadap standard yang ditetapkan bagi memastikan kualiti dan kebolehpasaran lada terus terpelihara.
 
Lawatan kerja ini turut memberi ruang untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan fungsi kawal selia MPB sebagai input dalam penggubalan Peraturan-Peraturan Lembaga Lada Malaysia (Pelesenan, Permit dan Penggredan), agar selaras dengan keperluan industri serta kerangka perundangan yang berkuat kuasa.

 

Halaman 1 dari 14

 logo ms  KSN  KPK2  sawit  get  timber tembakau  koko IPC doa Links IIM Saraspicelogo

Hubungi Kami

Lembaga Lada Malaysia
Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
Tel       : +60 82 527600 | +60 82 331811 Fax :+60 82 336877
Email  :  info@mpb.gov.my
Hakcipta Terpelihara © Lembaga Lada Malaysia (MPB)
Pelawat :
Dikemaskini Pada :

Kerajaan dan Lembaga Lada Malaysia tidak akan bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh dari laman web ini. Paparan terbaik menggunakan Google Chrome dan Modzilla Firefox dengan resolusi 1920 x 1080.